Siri Khutbah Jumaat.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Di kesempatan berada pada hari Jumaat dan di atas masjid yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk : ” KEGAWATAN DI PADANG MAHSYAR “
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Makhluk dan alam luas ciptaan Allah SWT akan tiba masanya menempuh saat kemusnahan dan kehancuran. Lihatlah tumbuh-tumbuhan yang menghijau di sekeliling kita akhirnya akan kuning layu, besi yang keras akan berkarat dan menjadi reput, makanan dan lauk pauk yang segar menjadi basi, anak-anak remaja akan pudar kejelitaan dan ketampanannya dimamah oleh usia tua, akhirnya menemui ajal. Dunia yang kita duduki dan diami pada hari ini pun juga semakin tua. Suasana yang berlaku ini bukanlah terjadi secara kebetulan tetapi suatu perkhabaran dan petanda-petanda awal bahawa seluruh ciptaan Allah SWT akan menemui ajalnya pada suatu detik yang dinamakan kiamat.
Tiupan sangka kala pertama bermulanya kiamat. Manakala tiupan sangka kala yang kedua menandakan kebangkitan manusia yang mati sejak zaman nabi Adam AS sehingga manusia terakhir ketika berlaku kiamat. Roh dan tubuh badan manusia yang berpisah ketika di alam barzakh bercantum semula hingga lengkap seperti tubuh kita sebelum mati untuk menghadapi hari pengadilan. Kedahsyatan kiamat ini dijelaskan oleh Allah SWT dalam Surah at-Takwir ayat 1-3 :
Maksudnya :
” Apabila matahari dilingkari cahayanya (dan hilang lenyap). Dan apabila bintang-bintang gugur berselerak Dan apabila gunung-ganang diterbangkan ke angkasa (setelah dihancurkan menjadi debu”.
Popularity: 1% [?]















