Islam agama syariat, yang menjadi panduan hidup untuk seluruh umat. Syariat menunjukkan, bagaimana untuk kita menjalani tatih hayat di atas dunia, apa yang perlu dilakukan, apa yang wajib ditinggalkan, apa yang mendatangkan mudarat dan apa yang menimbulkan nikmat. Syariat menentukan kaitan antara dunia dan akhirat.
Dalam kepelbagaian aturan Allah SWT yang dinamakan syariat itu, kita wajar memahami bahawa salah satu perkara yang sangat penting ialah tatacara perhubungan sesama manusia. Dalam hal ini, Allah SWT telah mensyariatkan kepada kita apa yang dinamakan sebagai zakat.
Zakat adalah syariat yang bersangkutan di antara hubungan sesama manusia (hablumminannas). Zakat tujuannya tidak lain dan tidak bukan, ialah demi menjamin keseimbangan hidup. Ini kerana, orang-orang miskin dan kaya, akan sentiasa ada sampailah dunia ini menuju ke penghujungnya.
Golongan miskin ini hanya akan terhapus, apabila semboyan kiamat hampir ditiup oleh malaikat Israfil. Selagi itu belum terjadi, manusia kaya dan miskin akan terus wujud dan beriringan. Samalah seperti adanya malam dan siang, laut dan daratan, lelaki dan perempuan.
Dalam Islam, harta hendaklah diagihkan atau diedarkan secara saksama sesama manusia. Untuk itulah, maka Allah SWT menegah jika harta kekayaan itu hanya berlingkaran dalam kalangan orang-orang kaya sahaja.
Ia demi mengelak daripada berlakunya manipulasi ke atas golongan yang lemah, sama seperti mana yang pernah berlaku lewat sebelum kedatangan Islam ke Kota Mekah. Kala itu, orang miskin terjerat dalam sistem pengumpulan harta oleh orang kaya, sehingga ada yang terpaksa menjadi hamba demi melunaskan hutangnya.
Allah menyatakan: “Apa sahaja harta rampasan (fa’i) yang diberikan Allah kepada Rasul-Nya (daripada harta benda) yang berasal dari penduduk kota-kota maka adalah untuk Allah, untuk Rasul, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan, supaya harta itu jangan beredar di antara orang-orang kaya sahaja di antara kamu,” (al-Hasyr, 59: 7)
Zakat memastikan harta dapat dikongsi secara saksama. Setiap orang mempunyai hak, sama ada hak untuk memberi dan hak untuk menerima. Tiada sesiapa boleh menghalang seseorang daripada memberikan hartanya kepada orang lain. Begitu juga, tiada sesiapa boleh mendabik dada menegah hartanya daripada diambil demi kebaikan orang lain. Ini semua mampu terlaksana dengan adanya syariat zakat.
Popularity: 2% [?]













